Monday, March 12, 2012

KHIYAR DAN HUKUMNYA


KHIYAR DAN HUKUMNYA

KHIYAR DAN HUKUMNYA
   Perkataan khiyar itu maknanya boleh pilih antara jadi atau tidak jadi beli, atau boleh ditarik balik (boleh batal).
   Kihyar itu ada 3 macam (1) khiyar majlis (2) khiyar syarat (3) khiyar aib (cacat).
   Pihak penjual dan pihak pembali diluluskan boleh khiyar majlis (tempat akad) selagi keduanya berada dalam tempat akad, sama ada hendak diteruskan (dilazimkan) jual beli itu atau hendak dibatal Jika keduanya telah memilih lazim (jadi beli) gugurlah hak khiyar daripada keduanya dan jika salah seorang memilih lazim gugurlah haknya dan tinggal hak tulinnya.
   Demikian jua gugur hak khiyar keduanya dengan berpisah (bercerai badan) kedua-duanya atau salah seorang daripada keduanya dari tempat akad pada a’raf sekalipun terlupa atau tidak tahu hukumnya.
   Jika akad itu dalam rumah besar apabila berpindah ke lain atau bilik lain itu berpisahlah namanya. Dan jika dalam rumah yang kecil atau dalam perahu apabila keluar daripadanya itu berpisah namanya, dan jika di tengah lapang atau dalam kedai apabila berpaling salah seorang daripadanya berjalan sedikit kira-kira 3 hasta itu berpisahlah namanya, tetapi jika keduanya diam dalam tempat akad itu atau kedua-duanya berjalan bersama-sama ke beberapa tempat lain sekalipun lebih daripada masa 3 hari masih kekal khiyar keduanya kerana tidak bercerai badan keduanya.
   Harus bagi penjual dan pembeli atau salah seorangnya mensyaratkan khiyar dalam masa yang tertentu jangan lebih daripada 3 hari dari waktu disyaratkan, jadi dalam tempoh itu kedua-duanya boleh pilih beli terus atau batal, syaratnya barang itu tidak binasa dalam masa itu sekiranya barang itu jenis yang boleh rosak batallah akad jual beli itu. Melainkan jualan barang jenis riba, jualan yang membawa kepada merdeheka (seperti anak membeli bapanya yang sahaya) dan jualan salam (jualan secara pesanan) tidaklah harus disyaratkan khiyar.
   Maka barang jualan atau manfaatnya dalam masa khiyar syarat itu dimilikkan oleh siapa yang meletak syarat sama ada penjual atau pembeli, tetapi jika kedua-duanya membuat syarat maka keadaan barang itu muquf (tergantung atau terhenti) tidak dimilikkan oleh siapa-siapa, apabila sempurna jualannya nyatalah barang itu milik pembeli dari sejak mula akad lagi, dan jika tidak sempurna (dibatal) barang itu milik penjual.
   Hasillah batal jual dalam masa khiyar itu dengan katanya: saya batal jualan ini. Dan tetap jadi jual dengan katanya: saya luluskan jualan ini atau saya teruskan dia atau saya lazimkan dia.
   Hasillah juga batal dengan perbuatan seperti disetubuhi (pada sahaya perempuan) atau dimerdekakan atau dijual atau disewakan atau dikahwinkan atau diwakafkan oleh penjual dan tetap jadi beli jika perbuatan-perbuatan itu dilakukan oleh pembeli.
   Harus bagi pembeli khiyar dengan sebab nyata ada aib (kecacatan) yang ada lebih dahulu pada barang jualan dengan tiada diketahuinya, demikian jua penjual harus khiyar nyata ada cacat yang ada lebih pada harga yang tiada diketahui.
   Cacat pada sahaya iaitu seperti yang telah dipotong buah kemaluannya atau berzina atau mencuri atau pelari atau kencing di tempat tidur atau mulut busuk atau ketiak busuk. Dan cacat pada binatang seperti menendang, menggigit, kasar berjalan sekira-kira ditakuti jatuh siapa-siapa yang menunggangnya, atau makan sedikit.
    Cacat pada rumah seperti itu jadi tempat askar berhenti atau di sebelahnya ada tukang dobi membasuh kain bising dengan hampasnya atau jin yang mengacau dan sebagainya. Demikian jua tiap-tiap perkara yang mengurangkan zatnya atau harganya kurang yang merosakkan tujuan yang sebenar dibeli barang itu.
   Cacat yang berlaku selepas qibad tidaklah harus pembeli hendak khiyar lagi.
   Bila didapati ada cacat pada barang jualan atau pada harga, bolehlah salah seorang daripada kedua pihak itu memulangkan balik kepada tulinnya dengan kadar yang segera pada adat, tidak mengapa terlewat sedikit kerana sembahyang atau kerana makan yang sudah masuk waktunya, demikian jua qada hajat hingga selesai dan jika hari malam bolehlah tunggu hingga subuh (pagi).
   Jika penjual itu berada dalam negeri hendaklah dikembalikan barang itu kepadanya atau kepada wakilnya atau kepada orang yang berwakil kepada dia atau kepada walinya seperti bapa atau datuknya atau kepada warisnya atau diserahkan ke mahkamah, dan jika penjual itu ghaib (tidak ada dalam negeri) dan wakilnya pun tidak ada hendaklah dirujukkan kepada mahkamah.
   Selain daripada itu wajib atas pembeli mencari orang yang menyaksikan fasakh atau batal itu masa dalam perjalanan menuju ke tempat penjual atau ke mahkamah.
   Disyaratkan lagi jangan digunakan barang jualan itu setelah diketahui ada cacatnya sekiranya pembeli menyuruh sahaya yang dibelinya yang cacat itu dengan katanya ambilkan aku air minum atau tunjukkan aku kain itu atau pergi kunci pintu atau angkat pelana yang ada di atas belakang kuda itu nescaya tiada boleh dikembalikan lagi dengan cara berkeras.
   Sekiranya tidak dapat diketahui cacat yang lama melainkan dengan cacatkan pula seperti ditebuk telur burung kasawari atau buah tembikai yang berulat di dalamnya atau sebagainya baharu diketahui ada cacat lama. Nescaya harus dikembalikan dengan cacat itu dengan tidak wajib membayar ganti cacat yang baharu itu kerana diuzurkan dalam perkara semacam ini.
   Jika berlaku pertelingkahan antara penjual dan pembeli tentang cacat lama dan cacat baharu, penjual mengatakan cacat baharu nescaya di benarkan dia dengan bersumpah dan sumpah itu mengikut jawabnya. Misalnya:berkata pembeli “Saya pulangkan balik barang ini dengan sebab ada cacat lama.” Jawab penjual: “Dia tidak boleh pulangkan balik dengan sebab cacat yang disebutnya itu”. Maka sumpahnya pun mengikut jawabnya itu dengan berkata: “Wallah, dia tidak boleh pulangkan balik dengan sebab cacat yang disebutnya itu”.
   Jika ia menjawab: “Saya tidak mesti menerima cakapnya itu”. Maka sumpahnya pun mengikut jawapnya itu. (Wallah saya tidak mesti menerima cakapnya itu).
   Jika ia menjawap: “Saya tidak serahkan kepadanya dengan cacat ini sumpahnya” Wallah saya tidak serahkan kepadanya dengan cacat ini.
   Atau dijawapnya: “Saya tiada serahkan kepadanya melainkan sejahtera daripada cacat”. Sumpahnya “Wallah saya tiada serahkan kepadanya melainkan sejahtera daripada cacatnya”.
   Hukum ini pada cacat uang tiada terang lama atau baharu yakni boleh jadi sudah lama atau boleh jadi cacat baharu.
   Adapun jika nyata cacat itu baharu seperti yang masih basah lagi pada hal jualan dan qibad sudah berlaku sebulan atau 2 bulan lalu maka hukumnya di benarkan cakap penjual dengan tidak payah bersumpah. Sebaliknya jika cacat itu tidak munasabah baharu jadi malahan sudah lama umpama luka yang sudah baik pada hal jualan dan qibad baharu berlaku nescaya dibenarkan cakap pembeli dan tidak payah sumpah.
   Peringatan: setengah daripada perbuatan yang membolehkan pembeli khiyar cacat iaitu perbuatan tasriyah. Maknanya membiarkan tetek lembu bengkak diperah susunya supaya di sangka lembu itu banyak susu, perbuatan itu haram dan pihak pembeli boleh khiyar dengan memulangkan balik kepada penjual dengan segera, jika sudah diperah susunya wajib ia mengganti dengan segantang kurma, demikian jua jualan tanah yang ada parit di dalamnya ditahan atau diempang ketika melakukan jualan dilepaskan airnya dengan tujuan supaya di sangka parit itu banyak air. Perbuatan itu haram juga sama macam menghitamkan rambut sahaya dengan dai atau dikerintingkan sampai muda atau di sangka kuat bekerja. Semua perbuatan-perbuatan itu membolehkan khiyar dan batal dengan segera.
   Tetapi di dalam masalah merecikkan bju sahaya dengan dakwat hitam supaya disangka pandai menulis, tiada hak bagi pembeli khiyar kerana cuainya tidak menjawab lebih dahulu. Demikian jua membeli kaca dengan harga permata tidak boleh khiyar kerana kecuaiannya sendiri itupun kalau kaca itu ada harga. Sekiranya tidak ada harga langsung nescaya jualan itu tidak sah.

No comments:

Post a Comment