Monday, April 11, 2011

Bab Zakat Emas dan Perak

Bismillah.. saya suka ingin wakafkan masa saya menunggu waktu solat asar dengan menyalinkan isi kandungan Bab Zakat Emas dan Perak dari terjemahan lama kitab "Sabilal Muhtadin Lit Tafaguni Fid Din" karangan Shaikh Muhammad Arsyad al-Banjari bin Abdullah; kitab ini mula dikarang pada tahun 1193H, dan selesai pada tahun 1195H.

Terlebih dahulu kita sedekahkan al-Fatihah pada Almarhum Shaikh Muhammad Arsyad al-Banjari bin Abdullah, sedekahkan juga al-Fatihah pada Almarhum Sultan Tahlilullah yang menghantar dan menanggung pengajian Shaikh di Mekah sampai dia pulang jadi ulama besar, Al-Fatihah.

Nota: kerja penyalinan akan saya habiskan mengikut masa yang diizinkan Allah dan saya harap saudara semua dapat menahan diri dari berkomentar dalam status ini; ambil sahaja ilmunya jadikan panduan dan rujukan, InsyaAllah.

1. Nisab emas itu dua puluh misqal dan nisab perak dua ratus dirham menurut timbangan Kota Makkah; karena Nabi s.a.w. bersabda "takaran zakat itu adalah takaran Madinah dan timbangan itu adalah timbangan Makkah".

2. Wajib dikeluarkan zakatnya emas yang dua puluh misqal atau perak yang dua ratus dirham tadi apabila disimpan sudah setahun lamanya.

3. Jumlah zakat yang dikeluarkan 4/10 = 2.5%; maka zakat yang dua puluh misqal itu dua misqal seperempat dan inilah jumlah zakat yang wajib dikeluarkan dan 1/10 dari dua ratus dirham ialah dua puluh dirham dan seperempat dari dua puluh dirham adalah lima dirham sebagai zakatnya.

4. Misqal Makkah tidak berubah, baik pada masa Jahiliyah mahupun pada masa Islam yang beratnya 72 biji sya'ir yang kulitnya dan kedua hujungnya dibuang yang halus dan panjang.

5. Sedang dirham Makkah di masa Islam selalu berubah dari dirham di masa Jahiliyah.

6. Dan yang dimaksudkan dengan dirham zakat harta ialah dirham yang ada di masa Islam; maka satu dirham beratnya lima puluh dua perlima biji sya'ir.

7. Kalau satu dirham ditambah dengan tiga pertujuhnya maka menjadi misqal dan kalau satu misqal dikurangi tiga persepuluhnya maka menjadi dirham.

8. Maka setiap sepuluh dirham sama dengan tujuh misqal dan setiap sepuluh misqal sama dengan empat belas dua pertujuh dirham.

9. Maka dua puluh misqal itu dua puluh delapan empat pertujuh dirham; dan yang dua ratus dirham itu seratus empat puluh misqal.

10. Jika yang ditimbang dua puluh misqal itu dengan bungkal yang beratnya enam suku setali maka jumlahnya kira-kira dua tael emas.

11. Dan jika ditimbang dengan rial bulat maka jumlahnya kira-kira tiga setengah rial.

12. Dan jika ditimbang yang dua ratus dirham dengan rial bulat maka jumlahnya kira-kira dua puluh empat rial.

‎13. Kalau emas dan perak lebih dari senisab wajiblah juga memasukkannya ke dalam jumlah nisab sekalipun hanya sedikit; kerana tidak ada waqas dalam zakat emas dan perak seperti yang telah diterangkan terdahulu (akan saya salin kemudian, insyaAllah)

14. Dan juga tidak boleh dicampur antara emas dan perak dalam menghitung nisab dan sebaliknya kerana berbeda jenisnya.

15. Tetapi dapat dikumpulkan emas atau perak yang baik dengan emas atau perak yang kurang baik, kerana dianggap sama jenisnya; dan hendaklah dikeluarkan zakatnya menurut jumlah masing-masing jika mudah dipisahkan.

16. Tetapi kalau sukar membedakannya, dikeluarkan zakatnya dengan yang pertengahan mutunya.

17. Tetapi kalau emas atau perak yang cukup nisabnya tadi semuanya tinggi mutunya maka tidak boleh mengeluarkan yang mutunya rendah tetapi hendaklah dikeluarkan yang baik juga atau yang terbaik dari mutu emas atau perak yang dimiliki tadi, maka cara yang seperti inilah yang terbaik.

18. Kalau wajib dikeluarkan 1/2 dinar umpamanya hendaklah dikeluarkan 1 dinar.

‎19. Kepada semua mustahak diberikan separuhnya sebagai zakat dan separuhnya lagi menjadi amanah pemiliknya. Lalu kalau dikehendaki oleh seluruh mustahak untuk menjual kepada orang lain dan harganya dibagi; separuh untuk mereka dan separuhnya lagi untuk pemilik atau oleh penerima zakat dibeli yang separuhnya dari pemilik atau dibeli oleh pemilik yang separuhnya yang menjadi bagian penerima zakat, namun makruh bagi pemilik membeli kembali zakatnya dari penerima zakat.

20. Demikian juga makruh bagi yang bersedekah membeli kembali apa yang disedekahkannya dari yang menerima sedekah.

21. Kalau emas bercampur dengan tembaga atau perak bercampur dengan tembaga tidak wajib dikeluarkan zakatnya terkecuali jumlah emas atau perak sampai nisabnya maka hendaklah dikeluarkan zakat emas atau perak yang tidak bercampur atau yang bercampur yang jumlah emas atau peraknya senilai dengan jumlah zakat dan tembaganya menjadi sedekah sunat.

22. Dan kalau tempat air (tempayan) dibikin dari emas yang dicampur dengan perak dan tidak diketahui yang mana yang lebih banyak dari dua macam logam tadi, apakah emas atau perak yang terbanyak maka dikeluarkan zakatnya dari masing-masing logam dengan memperhitungkan yang terbanyak dari kedua macam logam itu apakah emas atau perak. kalau berat tempayan itu 1000 dirham, salah satu logam itu beratnya 600 dirham dan yang lainnya 400 dirham maka dikeluarkan zakatnya 600 dirham dan 400 dirham perak, tidak boleh dikeluarkan emas seluruhnya sebagai zakat dari dua jenis logam tadi kerana emas tidak memadai menjadi zakat perak dan juga perak tidak memadai dikeluarkan menjadi zakat emas.

23. Atau dipisahkan emasnya dari perak umpamanya dengan dibakar atau dengan air dimana ditaruh emas murni yang beratnya 1000 dirham ke dalam air di dalam tempat air kemudian ditandai tinggi air itu di tempat air itu kemudian dikeluarkan emas dan sesudah itu dimasukkan lagi perak murni yang beratnya 1000 dirham dan ditandai tinggi air di dalam tempat air itu; maka tanda tinggi air di kala dimasukkan perak lebih tinggi dan tanda di kala dimasukkan emas murni, kerana volume perak lebih besar dari volume emas. Sesudah itu dikeluarkan perak lalu diletakkan lagi ke dalam air itu tempayan yang dibikin dari emas dan perak dan ditandai tinggi airnya dan adalah tanda yang bercampur itu diantara dua tanda yang terdahulu. Kalau tanda emas yang bercampur dengan perak itu mendekati ke tanda perak murni maka perak lebih banyak dari emas dan jika tanda yang bercampur lebih dekat dengan tanda emas murni maka emas lebih banyak dari perak; dan kalau tanda emas yang bercampur tadi berada diantara dua tanda dari kedua logam murni tadi maka jumlah emas dan peraknya sama.

24. Jadi dengan cara itu dapat diketahui kadar kedua macam logam campuran itu dengan perbandingan jarak antara tanda emas murni dan perak murni. Kalau jarak emas campuran tadi dengan jarak perak murni sebiji gandum dan dengan emas murni dua biji gandum maka emas tempayan itu adalah 1/3 dan peraknya 2/3. Dan jika antara tanda emas murni sebiji gandum dan dengan perak murni dua biji gandum maka bererti emas tempayan itu 2/3 dan peraknya 1/3, Dan kalau tanda yang bercampur tadi sama jauhnya kepada kedua tanda emas dan perak murni maka bererti separuh tempayan itu emas dan separuhnya perak. Dengan cara ini dapat diketahui kadar emas atau perak dari tempayan yang bercampur, dan dikeluarkan zakatnya menurut presentasi logamnya masing-masing.

25. Makruh Sultan (kepala negara) membikin dinar atau dirham atau lainnya yang bercampur dengan tembaga sekalipun masih laku, namun sah saja berjual-beli dengan mata uang tadi.

26. Demikian juga makruh bagi yang selain Sultan membikin dinar atau benda lainnya, baik dengan dicampur atau tidak dan kalau dibikin bercampur dan campurannya lebih banyak dari yang dibikin Sultan maka hukumnya haram.

27. Tidak wajib mengeluarkan zakat perhiasan yang dipakai oleh orang yang diperbolehkan memakainya dan lagi tidak makruh memakainya seperti gelang keroncong bagi perempuan dengan syarat diketahuinya bahawa untuk perhiasan dan bukan untuk disimpan.

28. Tetapi kalau diketahuinya umpamanya didapatnya dari perwarisan dari keluarganya dan baru diketahuinya sesudah berlalu setahun maka wajib zakatnya.

29. Demikian juga jika diniatkan untuk disimpan wajiblah dikeluarkan zakatnya.

30. Wajib dikeluarkan zakat perhiasan yang haram memakainya dan makruh memakainya baik dari emas atau perak, baik berbentuk perhiasan atau tempat air seperti yang diterangkan di atas, dalam hal pakaian atau tempayan.

31. Syarat zakat emas dan perak selain dari harta rikaz dan ma'din (tambang) hendaknya telah dimilikinya sudah setahun.

32. Tetapi kalau telah sampai nisab selama enam bulan kemudian dihutangkan kepada orang lain maka haulnya tidak terputus.

33. Tidak wajib zakat selain dari emas dan perak seperti mutiara, intan, zamrud, yakut, firuz, kesturi, ambar dan lainnya.

Alhamdulillah, selesailah disalin Bab Zakat Emas dan Perak dari Kitab Sabilal Muhtadin Lit Tafaguni Fid Din .


artikle asal di: http://www.facebook.com/home.php?sk=group_130228377040193&view=doc&id=151193401610357

No comments:

Post a Comment