Thursday, April 14, 2011

Hukum Riba Dan Faedah :: Fatwa Management System :: World Fatwa Management and Research Institute

Abu Alex menulis:


Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma berkata:

لاَ يُقْبَلُ مِنْهُ صَدَقَةٌ وَلاَ جِهَادٌ وَلاَ حَجٌّ وَلاَ صِلَةٌ

Ertinya: “Tiada diterima daripada orang makan riba itu akan sedekahnya, akan jihadnya, akan hajinya dan akan silaturrahimnya itu.”

Juga ia mati dalam sû’ al-khâtimah kerana barangsiapa biasa makan riba dan berkecimpung dengan perkara riba, maka itu suatu alamat mati dalam sû’ al-khâtima dan kufur.

Diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim dan lain ulama hadis:

لَعَنَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ آكِلَ الرِّبَا , وَمُؤْكِلَهُ , وَكَاتِبَهُ وَشَاهِدَيْهِ , وَقَالض هُمْ سَوَاءٌ

Maksudnya: “Rasulullah telah melaknat akan orang makan riba, orang yang memberi wakil menjalankan riba, penulis perkara riba, saksi-saksi perkara riba, sabda Rasulullah: “Mereka semua adalah sama belaka kena laknat Allah.”

Barangsiapa berkecimpung dalam perkara riba dan kekal dalam menjalankan dan mengusahakan perkara-perkara riba, akan membawa ia menjadi kafir dan mati dalam sû’ al-khâtimah.
Wal ‘iyâdzubillah.

Inilah amaran-amaran ke atas orang-orang yang menjalankan riba sama ada makan riba, kerani riba, saksi riba (guarantor), menolong menjalankan riba dan menyeru pada riba (marketing), semuanya orang-orang itu orang fâsiq dan apa jua perkara yang berhubung dengan riba adalah semuanya dosa besar.

LINK UNTUK DIBACA:
http://infad.usim.edu.my/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=3278&newlang=mas
Soalan:

Apakah hukum mengambil dan memakan wang riba dan faedah?


Jawapan:

Berkata Al-Imam Ibnu Hajar dalam kitab Az-Zawâjir ‘an Iqtirâf Al-Kabâir: :Bahawa dosa besar yang ketujuh puluh sembilan, delapan puluh, dan delapan puluh satu, delapan puluh dua, delapan puluh tiga, dan delapn puluh empat, lepas seratus iaitu 179, 180, 181, 182, 183, 184, iaitu dosa makan riba, dosa memberi makan riba, dosa menulis perkara riba, dosa jadi saksi perkara riba, dosa berusaha pada menjalankan riba, dan dosa pada menolong manjalankan perkara riba, semuanya itu dosa besar.”

Riba itu ada tiga macam:

(i) Riba al-fadhl namanya iaitu jual beli serta bayar lebih pada satu tukar ganti itu pada perkara yang sama jenisnya dengan tiada ada kebenaran syara’ pada bayar lebih itu seperti jual satu ringgit Malaysia dengan satu ringgit lima sen Malaysia.

(ii) Riba al-yadd iaitu jual beli serta lambat menerima keduadua tukar ganti itu, atau lambat menerima salah satu tukar ganti itu sebelum berpisah dari majlis akad, atau ada khiyâr pilihan dalam jual beli itu dengan syarat ada ittihâd kedua tukar ganti itu pada ‘illah, seperti tiap-tiap salah satu tukar ganti itu makanan atau tiap-tiap satunya itu emas perak, sekalipun berlainan jenis.

(iii) Riba an-nasî’ah iaitu jual beli pada dua makanan atau pada dua emas perak yang sama keduanya atau bersalah-salahan jenis keduanya, dengan bertangguh sekalipun satu second, sekalipun sama berat keduanya, sekalipun diterima di dalam majlis akad yang pertama seperti satu gantang gandum dengan kurang dari satu gantang gandum, atau dengan lebih dari satu gantangbgandum, atau jual beli satu ringgit Malaysia dengan kurang dari satu ringgit Malaysia, atau dengan satu ringgit Malaysia sama ada diterima kedua-duanya atau tiada, sama ada bertempoh atau tiada ada tempoh, yang kedua: Seperti jual beli satu gantang gandum dengan satu gantang gandum atau satu ringgit Malaysia dengan satu ringgit Malaysia, atau jual beli satu gantang gandum dengan satu gantang barli atau lebih dari satu gantang barli atau jual beli satu mayam perak, tetapi lambat menerima salah satu tukar ganti itu dari di dalam majlis akad atau ada khiyâr pada jual beli itu, yang ketiga: Seperti jual beli satu gantang gandum dengan satu gantang gandum dan satu mayam perak dengan satu mayam perak, tetapi serta lambat menerima salah satu tukar ganti itu sekalipun satu second, sekalipun sama berat keduanya sekalipun diterima keduanya dalam majlis akad.

Sekarang riba al-fadhl masuklah di bawah erti katanya itu, riba hutang, yang banyak berlaku di antara bank-bank dan orang-orang perseorangan.

Riba al-fadhl termasuk di bawah erti katanya itu, riba hutang riba al-yad, dan riba an-nasî’ah adalah ia haram dengan ijmâ’ dan sekata ulama Islam dengan nash Al-Qur’an dan nash hadis-hadis shahîh yang banyak.

Segala ancaman seksa dan padah dan bencana itu terkena pada empat-empat macam riba itu, setengah jenis riba itu dapat diselok hikmat rahsia mengharamkan, dan setengah jenis riba itu tiada dapat diselok rahsia haramnya, hanya kita umat Islam tunduk dan taat pada haram dan menjauhinya.

Pada masa zaman jahiliah sebelum Islam yang masyhur berlaku ialah riba an-nasî’ah, kerana seorang daripada mereka menyerahkan hartanya kepada seorang lain dengan bertempoh, dengan syarat ia ambil tiap-tiap bulan satu kadar atau jumlah sekian, dan modal itu tetap belum dibayar balik, apabila sampai tempoh bertangguh, maka tuan harta minta balik hartanya. Maka apabila tiada dibayar balik hartanya, maka ia tambah bayaran bulan dan tambah masa bertangguh itu. Begitulah keadaan riba an-nasî’ah pada zaman jahiliah.

Firman Allah Ta’ala:

الَّذِينَ يَأْكُلُونَ الرِّبَا لاَ يَقُومُونَ إِلاَّ كَمَا يَقُومُ الَّذِي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطَانُ مِنَ المَسِّ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُواْ إِنَّمَا البَيْعُ مِثْلُ الرِّبَا وَأَحَلَّ اللّهُ البَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا فَمَن جَاءهُ مَوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّهِ فَانتَهَىَ فَلَهُ مَا سَلَفَ وَأَمْرُهُ إِلَى اللّهِ وَمَنْ عَادَ فَأُوْلَـئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
(سورة البقرة : 275)

Tafsirnya: “Mereka yang memakan riba, tiadalah bangun mereka dari kubur mereka, melainkan bangun mereka seperti bangun orang yang diharuk oleh syaitan dengan gila, sebab mereka berkata bahawa jual beli itu seperti riba iaitu harus boleh dibuat, tetapi Allah Ta’ala menolak kata-kata mereka dengan firman Allah Ta’ala menghalalkan jual beli dan Allah mengharamkan riba, maka barangsiapa telah datang kepadanya nasihat dan ajaran daripada Tuhannya, maka dia berhenti dari menjalankan riba, dan makan riba, dan baginya apa-apa yang ia telah dapat dari riba dengan tiada payah ia kembalikan harta riba kepada tuannya, dan perkaranya itu terpulang kepada Allah pada mengampunkan dia, dan barangsiapa kembali pada makan riba dengan berkata riba halal seperti jual beli maka mereka adalah ahli neraka, mereka kekal dalam neraka,”
(Surah Al-Baqarah : 275)


Firman Allah :

يَمْحَقُ اللّهُ الرِّبَا وَيُرْبِي الصَّدَقَاتِ وَاللّهُ لاَ يُحِبُّ كُلَّ كَفَّارٍ أَثِيمٍ
(سورة البقرة :276)


Tafsirnya: “Allah Ta’ala mengurangkan harta dari riba dan mencabut berkat dari harta riba, dan Allah Ta’ala menambah harta dengan bersedekah dan menyuburkannya, dan memberi pahala berganda-ganda pada sedekah dan Allah murka akan tiap-tiap orang kafir yang menghalalkan riba yang jahat dan Allah Ta’ala akan menyeksa akannya.”
(Surah Al-Baqarah : 276)

Firman Allah Ta’ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ اتَّقُواْ اللّهَ وَذَرُواْ مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ
(سورة البقرة : 278)

Tafsirnya: “Hai mereka yang beriman, takutlah kamu akan Allah Ta’ala dan tinggalkan olehmu akan saki baki riba yang kamu jalankan itu, kiranya kamu benar-benar orang yang beriman (yakni riba yang sudah lalu itu dalam timbangan Allah dan riba yang sedang berjalan itu kamu berhenti dan tinggalkan dia. Itulah kelakuan orang yang beriman yang menjunjung titah perintah Allah dan yang meninggalkan tegahan larangan Allah).”
(Surah Al-Baqarah : 278)

Firman Allah :

فَإِن لَّمْ تَفْعَلُواْ فَأْذَنُواْ بِحَرْبٍ مِّنَ اللّهِ وَرَسُولِهِ وَإِن تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُؤُوسُ أَمْوَالِكُمْ لاَ تَظْلِمُونَ وَلاَ تُظْلَمُونَ
(سورة البقرة : 279)

Tafsirnya: “Jika kiranya kamu tiada buat apa yang telah diperintahkan dari perkara riba itu, maka kamu ketahuilah bahawa peperangan daripada Allah dan daripada Rasulullah akan dijalankan di atas kamu, ini amaran Allah yang amat dasyat dan orang-orang yang makan riba berkata: “Tiadalah kami berdaya memerangi Allah”, dan jika kiranya kamu bertaubat dan berhenti dari menjalankan riba, maka bagi kamu modal dan harta kamu, kamu ambil semula, dengan tiada kamu menzalimkan orang dengan mengambil lebih dari modal kamu, dan dengan tiadalah pelanggan yang menerima itu kena zalim daripada kamu dengan kekurangan hartanya dengan membayar riba kepada kamu, jadi riba itu adalah perbuatan zalim dan aniaya daripada tuan pemodal ke atas orang yang dikenakan riba itu.”
(Surah Al-Baqarah : 279)

Firman Allah:

وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَى مَيْسَرَةٍ وَأَن تَصَدَّقُواْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
(سورة البقرة : 280)

Tafsirnya: “Jika kiranya orang yang menerima riba daripada kamu itu dalam keadaan sengsara, maka hendaklah kamu tanggungkan dia membayar modal kamu kepada kamu sehingga ia senang dan lapang dan kamu bersedekah dengan modal kamu kepada orang yang sengsara dari membayar modal kamu itu, adalah sedekah itu lebih baik kepada kamu kiranya kamu ketahui akan baiknya itu.”

Menurut hadis diriwayat oleh Al-Imam Muslim Melayunya: “Barangsiapa menanggungkan orang sengsara dari hutangnya, atau melepaskan dia dari hutangnya, nescaya Allah Ta’ala lindungkan dia di dalan lindungan Allah pada Hari Kiamat kelak.”


Firman Allah Ta’ala:

وَاتَّقُواْ يَوْماً تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللّهِ ثُمَّ تُوَفَّى كُلُّ نَفْسٍ مَّا كَسَبَتْ وَهُمْ لاَ يُظْلَمُونَ
(سورة البقرة : 281)

Tafsirnya: “Takutilah kamu akan suatu hari yang kamu kembali kepada Allah iaitu Hari Kiamat, kemudian ditunaikan balasan ke atas segala diri akan segala usaha yang telah ia usahakan dari kebaikan dan kejahatan, dan mereka tiada dizalimkan di dalam balas-membalas itu dengan mengurangkan kebaikan mereka atau menambah kejahatan di atas kejahatan mereka yang telah lalu itu.”
(Surah Al-Baqarah : 281)

Firman Allah Ta’ala :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَأْكُلُواْ الرِّبَا أَضْعَافاً مُّضَاعَفَةً وَاتَّقُواْ اللّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ . وَاتَّقُواْ النَّارَ الَّتِي أُعِدَّتْ لِلكَافِرِينَ
(سورة ال عمران : 130-131)
Tafsirnya: “Hai mereka yang beriman, janganlah kamu makan riba berganda-ganda satu ganda lepas satu ganda iaitu kamu tambah bunga dan faedah ketika sampai tempoh membayar dan kamu tangguhkan bayar modal kepada kamu, takutlah kamu akan Allah moga-moga kamu beruntung, dan takutlah kamu akan api neraka yang disediakan untuk orang-orang kafir yang diazabkan mereka dengan api neraka, jadi orang makan riba orang zalim sebagai sebagai orang kafir dan dimasukkan dalam api neraka bersama-sama orang kafir, kemudian orang makan riba yang beriman itu dikeluarkan dari neraka tempat mengazabkan orang kafir dan dimasukkan dia ke dalam syurga. Itulah balasan orang zalim dan memerangi Allah itu.”
(Surah Âli-‘Imran : 130-131)

Sayugia tuan pembaca perhatikan ayat Al-Qur’an tadi akan azab seksa yang kena ke atas orang-orang makan riba.

Setengah dari hadis-hadis yang banyak dalam perkara riba:

(i) Diriwayatkan oleh Al-Imam Thabrani:

اِيَّاكَ وَالذُّنُوبَ الَّتِى لاَ تُغْفَرُ : اَلْغُلُولُ , فَمَنْ غَلَّ شَيْئًا أَتَى بِهِ يَوْمَ اْلقِيَامَةِ , وَأَكْلُ الرِّبَا , فَمَنْ أَكَلَ الرِّبَا بُعِثَ يَوْمَ اْلقِيَامَةِ مَجْنُونًا ثُمَّ قَرَأَ هذِهِ اْلآيَةَ.

Maksudnya: “Jauhkan oleh mu akan dosa yang tiada diampunkan iaitu khianat pada harta peperangan, maka barangsiapa khianat pada sesuatu dari harta peperangan, maka dia akan membawa harta yang dikhianat itu pada Hari Kiamat, dan makan riba, maka barangsiapa makan riba dia dibangkitkan pada Hari Kiamat dengan keadaan gila dengan huyung-hayang.”

Kemudian Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam membacakan ayat Al-Qur’an:

لاَ يَقُومُونَ إِلاَّ كَمَا يَقُومُ الَّذِي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطَانُ مِنَ المَسِّ
Surah Al-Baqarah, ayat 275.

Tafsirnya: “Orang-orang makan riba itu tiada bangkit mereka dari kubur melainkan mereka bangkit seperti orang yang bangkit yang diharok oleh syaitan dengan kelakuan gila”.

(ii) menurut satu riwayat sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam :

لَمَّا عُرِجَ بِى سَمِعْتُ فِى السَّمَاءِ السَّابِعَةِ فَوْقَ رَأْسِى رَعْدًا وَصَوَاعِقَ , وَرَأَيْتُ رِجَالاً بُطُونُهُمْ بَيْنَ أَيْدِيهِمْ كَالْبُيُوتِ فِيهَا حَيَّاتٌ وَعَقَارِبُ تُرَى مِنْ ظَاهِرِ بُطُونِهِمْ , فَقُلْتُ : مَنء هَؤُلاَءش يَا جِبْرِيلُ ؟ فَقَالَ : هَؤُلاَءِ أَكَلَةُ الرِّبَا
Maksudnya: “Manakala dibawa saya naik ke langit malam Mi’râj, maka saya dengar pada langit yang ketujuh di atas kepala saya, akan guruh dan halilintar-halilintar, dan saya lihat orang-orang, perut mereka di hadapan mereka seperti rumah-rumah di dalamnya ular-ular dan kala-kala dilihat dari luar perut mereka, maka saya berkata: “Siapa itu Ya Jibrail?” Katanya: “Mereka orang-orang makan riba”.

Telah ittifâq sekata ulama bahawa makan riba itu suatu dosa besar bahkan ia sebesar-besar dosa besar.

Telah diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari dan Muslim dan Abu Daud dan An-Nasa’I bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ اْلمُوبِقَاتِ : قَِيلَ يَا رَسُولَ اللهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ : الشِّركُ بِاللهِ , وَالسِّحْرُ , وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِى حَرَّمَ

اللهُ إِلاَّبِاْلحَقِّ , وَأَكْلُ مَالَ الْيَتِيمِ , وَأَكْلُ الرِّبَا, وَالتَّوَلِّى يَوْمَ الزَّحْفِ , وَقَذْفُ اْلمُحْصَنَاتِ الُمؤْمِنَاتِ الْغَافِلاَتِ

اْلمُؤْمِنَاتِ
Maksudnya: “Jauhilah olehmu akan tujuh perkara yang membinasakan”. Sahabat-sahabat bertanya: “Apa itu ya Rasulullah?” Sabda Rasulullah: “Menyekutukan Allah, membuat sihir, membunuh nyawa yang telah diharamkan oleh Allah melainkan dengan kebenaran syara’, memakan harta anak yatim, makan riba, cabut lari ketika berlaku pertempuran dengan musuh Islam, dan menuduh zina ke atas perempuan-perempuan muhshanah yang sunyi dari kejahatan lagi beriman”.

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam :

اَلرِّبَا وَإِنْ كَثُرَ فَإِلَى قُلِّ
(رواه أحمد)

Maksudnya: “ Riba itu sekalipun banyak, maka ia akan berkurangan.”
(Hadis riwayat Ahmad)

Maka setengah dari perkara yang Allah akan mengurangkan harta itu dengan Allah Ta’ala mengeji riba dan murkakan orang makan riba, hilang sifat ‘adâlah, pergi sifat amanah daripada orang makan riba, dia kena fâsiq dan keras hati, doa orang yang kena zalim yang diambil riba daripadanya, dengan melaknat orang makan riba itu. Dengan sebab itu pergi kebajikan dan berkat dan mewah dari hartanya dan dari dirinya, kerana doa orang kena zalim itu tiadalah di antara doanya dengan Allah Ta’ala sesuatu sekatan yakni Allah akan menerima dan kabulkan doanya.

Juga telah diketahui bahawa menghimpunkan harta dari jalan riba itu menghela akan berbagai bencana daripada orang-orang zalim ke atasnya dan daripada pencuri-pencuri dan lain-lain bencana kerana mereka berkata bahawa harta riba bukan harta sebenar-benar harta bagi orang yang memakan riba itu.

Adapun mengurangkan harta riba itu di akhirat, iaitu berkara sahabat Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma:

لاَ يُقْبَلُ مِنْهُ صَدَقَةٌ وَلاَ جِهَادٌ وَلاَ حَجٌّ وَلاَ صِلَةٌ

Ertinya: “Tiada diterima daripada orang makan riba itu akan sedekahnya, akan jihadnya, akan hajinya dan akan silaturrahimnya itu.”

Juga ia mati dalam sû’ al-khâtimah kerana barangsiapa biasa makan riba dan berkecimpung dengan perkara riba, maka itu suatu alamat mati dalam sû’ al-khâtima dan kufur.

Diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim dan lain ulama hadis:

لَعَنَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ آكِلَ الرِّبَا , وَمُؤْكِلَهُ , وَكَاتِبَهُ وَشَاهِدَيْهِ , وَقَالض هُمْ سَوَاءٌ

Maksudnya: “Rasulullah telah melaknat akan orang makan riba, orang yang memberi wakil menjalankan riba, penulis perkara riba, saksi-saksi perkara riba, sabda Rasulullah: “Mereka semua adalah sama belaka kena laknat Allah.”

Barangsiapa berkecimpung dalam perkara riba dan kekal dalam menjalankan dan mengusahakan perkara-perkara riba, akan membawa ia menjadi kafir dan mati dalam sû’ al-khâtimah.
Wal ‘iyâdzubillah.

Inilah amaran-amaran ke atas orang-orang yang menjalankan riba sama ada makan riba, kerani riba, saksi riba, menolong menjalankan riba dan menyeru pada riba, semuanya orang-orang itu orang fâsiq dan apa jua perkara yang berhubung dengan riba adalah semuanya dosa besar.

Bahaya riba pada masyarakat umat Islam, iaitu diriwayatkan oleh Al-Imam Abu Ya’la dengan sanad yang bagus daripada sahabat Ibnu Mas’ud Radhiallahu ‘anhu bahawa dia menyebutkan satu hadis daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, sabda Baginda:

مَا ظَهَرَ فِى قَوْمٍ الزِّنَا وَالرِّبَا إِلاَّ أَحَلُّوا بِأَنْفُسِهِمْ عَذَابَ اللهِ

Maksudnya: “Tiada nyata dalam sesuatu masyarakat orang oleh zina dan nyata perkara riba, melainkan mereka ditimpa oleh azab Allah (bagaimana sekarang umat Islam kena berbagai-bagai bencana, gempa, bunuh-membunuh, meleset pencarian, banjir, tanah air mereka diharuk oleh Russia dan Amerika dan Eropah, berpecah sama sendiri, tanah arab dilanda oleh zionis dan peperangan).”

Diriwayatkan oleh Al-Imam Ahmad dengan sanad ada padanya pandangan iaitu:


مَا مِنْ قَوْمٍ يَظْهَرُ فِيهِمُ الرِّبَا إِلاَّ أُخِذُوا بِالسَّنَةِ , وَمَا مِنْ قُوْمٍ يَظْهَرُ فِيهِمُ الرُّشَا إِلاَّ أُخِذُوا بِالرُّعْبِ

Maksudnya: “Tiada suatu kumpulan orang, nyata pada mereka perkara riba, melainkan mereka akan ditimpa kemarau sama ada turun hujan atau tiada, dan tiada suatu kumpulan orang, nyata pada mereka perkara makan suap dan rasuah, melainkan mereka akan ditimpa oleh ketakutan dan kebimbangan, sekarang orang-orang Islam mengeluh dengan meleset harta benda di timur dan di barat, ketakutan dari serangan musuh-musuh mereka di sekeliling penjuru sempadan negeri mereka”.



Ini sedikit keterangan kepada encik, yang minta nasihat dan keterangan. Sayugialah encik berfikir panjang, kemudian mengambil pendirian yang tegas sama ada mahu selamat dunia dan akhirat atau sebaliknya, Allah Ta’ala akan memberi taufiq kepada orang-orang yang bertaqwa.



Negara asal : Brunei darussalam
Negeri : Brunei
Badan yang mengisu fatwa : Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam
Penulis/Ulama : Ustaz Awang Bin Haji Abdul Aziz Bin Juned & Dr Hj Ismail Bin Omar Abdul Aziz
Tarikh Diisu :

sumber: http://infad.usim.edu.my/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=3278&newlang=mas

No comments:

Post a Comment