Monday, April 11, 2011

KENAPA PERBANKAN ISLAM TIDAK BERUSAHA MEMPERKENALKAN KEMBALI MATAWANG ISLAM - DINAR DAN DIRHAM ?

Saya sering ditanya soalan ini, kalau perbankan Islam betul - betul bergerak diatas landasan Islam mengapa mereka tidak membuka akaun simpanan emas (dinar) atau perak (dirham), seterusnya memudahkan urusan muamalat dengan sistem pembayaran dengan e dinar atau e dirham.

Jawapan :

Perbankan Islam pada hakikatnya ialah sebuah BANK.

1) Mereka mengamalkan fractional reserve banking sebagaimana bank - bank yang lain. Melalui cara ini, mereka boleh mencipta wang fiat dan menggalakkan penggunaan wang kertas melalui deposit.

2) Berselindung disebalik aqad - aqad yang NAMPAK ISLAMIK untuk menghalalkan interest.

Untuk menghalalkan apa yang mereka buat, takrif riba ditukar ! Wang kertas mesti diagungkan, dinar dan dirham mesti ditinggalkan . Lihat apa yang berlaku ......

Takrif riba mengikut ulamak muktabar tradisional :

Kitab Fathul Muin :

Al bai'

Dari segi bahasa 'jual beli' ialah menukar sesuatu dengan sesuatu yang lain. Menurut syarak ialah menukar harta dengan harta pada wajah tertentu.

Jual beli riba ( Bai' ribawi) :

Jual beli riba hanya terjadi pada dua hal :

1) Makanan : spt. gandum, sya'ir, kurma , anggur, garam, beras, jagung , ful

2) Nuqud : Emas dan Perak : Walaupun dalam bentuk bahan seperti perhiasan emas dan perak.

Dua macam ini dijual (ditukar) dengan jenis yang sama, misalnya gandum dengan gandum, atau emas dengan emas. Disyaratkan mesti segera (tanpa tangguh). Juga mesti saling menyerah terima sebelum berpisah dari tempat tersebut Apabila saling menyerah terima sebahagiannya sahaja, hanya bahagian itu sahaja dikira sah.

Juga disyaratkan harus sama secara yakin akan ukurannya bagi barang yang diukur (kualiti) dan sama beratnya bagi barang yang ditimbang.

Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w :

" Janganlah kamu menjual emas dengan emas, perak dengan perak, sya'ir dengan sya'ir, kurma dengan kurma, garam dengan garam kecuali sama dengan sama (sawaan bi sawain) , barang dengan barang, tangan dengan tangan (kesegeraan). Apabila pertukaran melibatkan jenis yang berlainan, lakukanlah asalkan serah terima tangan ke tangan (kesegeraan)."

Untuk jual beli riba dari jenis yang lain yang masih sama - sama kelompok riba,misalnya gandum dengan sya'ir atau emas dengan perak adalah disyaratkan : Saling serah terima sebelum berpisah, tidak disyaratkan sama besar. Bererti jual beli riba dengan jenis yang lain adalah menjadi batal bila tidak saling erah terima dalam majlis aqad.

Bahkan jual beli riba dalam dua bentuk ( sama jenis atau berlainan jenis) adalah dihukum haram jika salah satu syarat tidak dipenuhi. Para ulamak sepakat memasukkanya dalam dosa besar, kerana tersebut adanya laknat atas pemakan riba, yang mewakilkan riba dan penulis riba.

Tafsir ' Ahkamul Quran " :

Riba dari segi bahasa bermaksud “ lebihan ”dalam bahasa Arab. Qadi Abu Bakr ibn al-Arabi, didalamTafsir “Ahkamul Qur’an” mendefinasikan riba sebagai: setiap lebihan antara nilai barang yang diberi dan nilai yang diterima. Lebihan ini merujuk kepada dua pekara :

1] setiap lebihan, manfaat hasil dari penambahan yang tidak ketentuan dalam timbangan dan ukuran.

2] setiap lebihan, manfaat dari ketidaktentuan yang datang dari penangguhan.

Dua aspek ini membawa ulamak kita mengkategorikan riba kepada dua jenis.

KITAB Bidayatul Mujtahid :

Ibn Rushd berkata:

“Fuqahak bersependapat bahawa riba didalam jual beli ada dua jenis : penangguhan ( nasi’ah ) dan lebihan yang ditetapkan (tafadul)”

Dengan maksud, ada dua jenis riba:

1] Riba al-Fadl (lebihan dalam penambahan )

2] Riba al-Nasiah (lebihan melalui penangguhan)

Riba al-fadl merujuk kepada lebihan kuantiti/berat.

Riba al-nasiah merujuk kepada masa yakni penangguhan.

Contoh Riba al Fadhl :

Penukaran emas dengan emas atau perak dengan perak.

Kitab Al Muwatta'

Yahya meriwayatkan daripada Malik yang Yahya ibn Said berkata, " Rasullulah s.a.w , mengarahkan dua Saad untuk menjual becana/bekas yang diperbuat dari salah satu emas atau perak daripada harta rampasan. Mereka sama ada menjual masing-masing tiga unit-unit berat untuk empat unit berat duit syiling atau masing-masing empat unit-unit berat untuk tiga unit berat duit syiling. Rasullulah s.a.w, berkata kepada mereka, 'Kamu telah mengambil riba , jadi kembalikan ia.' "

Penukaran ini melibatkan berat yang tidak sama. Antara becana atau bekas yang diperbuat dengan emas dan perak. Menjualnya dengan tidak setimpal dari segi berat syiling dinar dan dirham adalah riba.

Yahya meriwayatkan daripada Malik daripada Humayd ibn Qays al-Makki yang Mujahid berkata, "Saya berada bersama Abdullah ibn Umar, dan seorang tukang datang kepadanya dan berkata, 'Abu Abd ar-Rahman - Saya membentuk emas perhiasan dan kemudian menjual lebih daripada beratnya. Saya mengambil satu jumlah bersamaan kerja tangan saya.' Abdullah melarang dia melakukan yang demikian , jadi tukang itu mengulangi soalan kepadanya, dan Abdullah terus melarangnya sehingga dia datang ke pintu masjid atau kepada binatang tunggangannya . Kemudian Abdullah ibn Umar berkata, 'Satu dinar untuk satu dinar, dan satu dirham untuk satu dirham. Tidak boleh menambah antara mereka. Ini merupakan perintah dari Nabi kita untuk kami dan nasihat kami untuk anda.' "

Yahya meriwayatkan daripada Malik yang dia telah mendengar dari datuknya, Malik ibn Abi Amir yang Uthman ibn Affan menyatakan, " Rasullulah s.a.w berkata kepada saya, ' Jangan kamu jual satu dinar untuk dua dinar atau satu dirham untuk dua dirham " .

Apa yang kita faham dari hadis Saidina Uthman bahawa tukaran emas dengan emas dan perak dengan mestilah seimbang. Maknanya bukan menukar 1 dinar syiling emas dengan 1 dinar syiling emas. 1 dinar ialah 1 mithqal iaitu berat emas 4.25 gram tidak kira dalam apa bentuk sekalipun tukarannya mesti sama berat.

Sebab itulah syiling dinar emas mesti dalam bentuk emas 916 kerana barang kemas majoritinya adalah emas 916. Jika dinar emas 999 ditukar dengan barang kemas 916, walaupun sama timbangan beratnya dalam tukaran, kualitinya tidak sama maka akan berlaku riba disitu.

Imam Malik berkata, "Tiada salah dalam membeli emas dengan perak atau perak dengan emas tanpa berukuran jika ianya bukan dalam bentuk syiling atau barang kemas yang telah diperbuat. Syiling dirham dan dinar yang boleh dikira tidak sepatutnya dibeli tanpa pengiraan sehingga mereka dikenali dan terjumlah. Untuk meninggalkan jumlah dan membeli mereka secara rambang akan menjadi jual beli mengagak-agak (spekulatif). Itu bukan sebahagian daripada urus niaga muamalat bagi umat Islam. Apa - apa bahan dari emas dan perak dalam bentuk bukan syiling dan barang kemas, tidak ada salahnya dalam membeli benda-benda sebegitu tanpa berukuran. Untuk membeli mereka tanpa berukuran adalah seperti membeli gandum , kurma kering, dan barang makanan yang lain, yang dijual tanpa berukuran, walaupun benda-benda seperti mereka adalah diukur "

Benda yang jelas perlu dihitung dalam tukaran ialah syiling dirham perak dengan syiling dinar emas. Ini bagi menjelaskan rate tukaran antara syiling dirham dan syiling dinar.

Ini boleh merujuk kepada zakat keatas syiling dirham dan perak.

Kitab Muwatta'

Imam Malik berkata, jika seorang lelaki telah memiliki seratus dan enam puluh dirham dan kadar pertukaran dalam di kotanya ialah lapan dirham untuk satu dinar, beliau tidak perlu membayar apa-apa zakat. Zakat hanya untuk dibayar jika sampai dua puluh dinar emas atau dua ratus dirham.

Jual beli logam tembaga , besi dan lain - lain yang boleh ditimbang.

Imam Malik berkata, "Umumnya persetujuan kami ( ahlul Madinah) , sebarang benda yang ditimbang tetapi bukan emas atau perak, seperti tembaga, loyang, plumbum hitam, besi, herba-herba, kapas dan mana-mana benda-benda yang boleh ditimbang, tidak salahn dalam tukar menukar semua jenis-jenis benda itu dua untuk satu, segera tangan dengan tangan. Tiada merosakkan jual belidalam mengambil satu ritl besi untuk dua ritl besi, dan satu ritl loyang untuk dua ritl loyang."

Imam Malik berkata, "Tidak elok pertukaran dalam dua untuk satu daripada satu jenis dengan tertangguh . Tiada merosakkan tukaran dalam mengambil dua daripada satu jenis untuk satu daripada satu jenis lagi dengan tertangguh , jika keduanya dengan jelas berbeza jenis. Jika kedua-duanya menyerupai satu sama lain tetapi nama mereka adalah berlainan , seperti plumbum biasa dan plumbum hitam, loyang biasa dan loyang kuning, saya tidak bersetuju mengambil dua daripada satu jenis untuk satu daripada yang lain secara bertangguh ."

Setengah ulamak memperincikan riba kepada riba al yad. Iaitu keadaan dimana salah satu penjual atau pembeli meninggalkan majlis aqad sebelum berlaku serah terima.

Jelas pada kita, bahawa jual beli mesti melibatkan pertukaran harta denga harta, 'ain dengan 'ain. Ulamak mengketogorikan syiling emas dan perak sebagai nuqud shar'ii dan fulus meliputi syling tembaga dan sebagainya menjadi wang kecil. dalam tukaran

Kertas jika hendak dijadikan wang mestilah ditimbang bukan diberi nilai. Cth: 1 kilo kertas = RM 1, 2 kilo kertas = RM 2 barulah boleh ditukar dengan barangan yang lain. Jika tidak, ia akan merosakkan jual beli.

Hutang , pinjam dan gadaian (ar rahn)

Termasuk dalam riba al fadl (lebihan) ialah riba al qard (hutang), iaitu bila dalam hutang disyaratkan sesuatu untuk manfaat bagi pemuitang.

Kitab Fathul Muin

Al iqradhu - menghutangi ialah memberikan milik sesuatu kepada orang lain dengan pengembalian yang sama. Adalah sunnat, kerana mengandungi unsur menolong menghilangkan kesulitan. Ini termasuk dalam dalam sunnat muakkad berdasarkan beberapa hadis yang terkenal.

Hadis riwayat Muslim " Barangsiapa membantu melonggarkan satu diantara beberapa kesulitan duniawi temannya, maka Allah akan melonggarkan salah satu dari beberapa kesulitannya di hari qiamat dan menolong hambanya selagi hamba itumahu menolong temannya. "

Masalah : Bank menjadikan hutang sebagai satu business untuk mengaut keuntungan dengan interest. Ini termasuk dalam riba al qardhu.

Bank Islam Islam juga terlibat dalam bussiness memberi hutang. Cuma tekniknya berbeza , dengan berselindung disebalik jual beli untuk menutup riba al qardu. Semua orang tahu , apabila kita hendak membeli kereta atau rumah , kita perlu ke Bank Islam untuk berhutang wang untuk mendapatkan hutang membeli kereta atau rumah. Bank Islam tidak menjual kereta atau rumah.

Jadi bagimana jual beli dilakukan untuk menghallalkan riba al qardhu.

Menggunakan kaedah dua jual beli dalam satu jual beli yang dilarang oleh syarak.

Yahya meriwayatkan daripada Malik yang dia telah mendengar bahawa Rasullullah s.a.w. melarang dua jual beli dalam satu jual beli.

Cth: Dua jual belidalam satu jual beli.

Yahya meriwayatkan daripada Malik yang dia telah mendengar bahawa seorang lelaki berkata kepada yang lain, " Belilah unta ini bagi saya segera supaya saya boleh membeli dia daripada anda secara berhutang." Abdullah ibn Umar telah ditanya tentang yang itu dan dia tidak bersetuju dan melarangnya.

Dalam kes sekarang : Kita meminta Bank membeli rumah untuk kita dari kontraktor secara tunai ( satu harga) dan kita akan membeli semula rumah tersebut dengan hutang (satu harga yg. lain ) dari bank. Ada dua harga yang berlaku disini. Bank hanya akan membeli rumah secara tunai jika kita membelinya semula dengan hutang pada harga yang lain.

Jika tidak, jual beli tidak akan berlaku.

Ini adalah pintu belakang kepada riba !

Bussiness memberi hutang oleh Perbankan Islam.

Pakar muamalat Malaysia ditanya :

Salam.

Wujudkah pinjaman peribadi yang mengikut syarak? Jika wujud, bagaimana untuk mengenali pinjaman peribadi yang halal? Apakah syarat-syaratnya?

Terima kasih.

JAWAPAN :

salam,

Ye wujud, tapi ia tidak dinamakan pinjaman peribadi sebaliknya "pembiayaan peribadi" kerana ia melibatkan proses aqad jual beli atau sewa dan bukannya pinjam meminjam.

Antara bentuknya, cuba buka web dubai islamic bank ini http://www.alislami.co.ae/en/personalbanking_Ijarahservices.htm

Inilah bentuk pembiayaan peribadi terbaik menurut Shariah, iaitu ia menggunakan konsep berbeza, Ijarah (sewa), Murabahah dan lain-lain aqad yang specific menurut keperluan pelanggan, sebagai contoh, apabila pelanggan ingin duit untuk bayar yuran univeristinya, maka pihka bank akan menyewa dari univeristi seat di univ dan menyewakan kepada anda. Atau contoh lain, anda ingin buat majlis kahwin di hotel, tapi budjet tak cukup, maka pergi ke bank, pihak bank akan sewa ball room itu, then bank akan sewakan kepada anda pula dengan harga yang berlainan ( iaitu campur untung untuk bank).

Tapi ia memerlukan pelanggan bersikap telus dan memberitahu tujuan diperlukan ‘cash' atau duit itu. Dengan cara ini, pihak Bank Islam dapat emmantau semua wang yang keluar untuk pembiayaan peribadi digunakan untuk tujuan yang menepati Shariah sahaja.

Adapun, jika ia dirahsiakan, maka pihak bank tidak boleh membiayainya dengan cara di atas sebaliknya terpaksa menggunakan cara yang sedikit kontreversi (kerana terdapat perbezaan pandangan ulama tentangnya) di kalangan Ulama Shariah, iaitu dengan menggunakan kaedah, Bai Inah atau Bai At-Tawarruq. Tidak sempat pula saya ingin terangkan flow konsep ini di sini.

Bagaimana nak kenalinya ? ; mudah sahaja..semua Pembiayaan Peribadi secara islam mestilah di tulis 'i' iaitu huruf i kecil di nama produknya, untuk memaklumkan bahawa ia adalah produk secara Islam. Atau lebih, mudah, di highlightkan ia adalah pembiyaan secara Islam dan organisasi itu mempunyai Penasihat Shariahnya sendiri.

sekian

uzar

Semua aqad ini sebenarnya dua jual beli dalam satu jual beli. Berselindung disebalik jual beli murabahah. Murabahah yang diamalkan Perbankan Islam sebenarnya bukan murabahah. 90 % daripada transaksi Perbankan Islam sekarang menggunakan versi murabahah mereka. Tanpa versi murabahah ini , Perbankan Islam tidak akan wujud sekarang ini. Apa yang yang mereka lakukan ialah memberi hutang dengan teknik dua jual beli dalam satu jual beli. Teknik ini adalah helah untuk memberi hutang dengan mendapatkan keuntungan dengan bayaran balik dari penghutang dengan lebihan dari jumlah hutang asal. Dengan kaedah ini mereka telah mengIslamkan bon, pinjaman perumahan, kereta , peribadi , kad kredit dan akhirnya yang terbaru deravatif Islam. Asthagfirullah al azim ! Memperkayakan sistem kapitalis !

Apakah dia jual beli murabahah sebenar ?

Jual beli murabahah ialah satu tawaran harga dan penerimaan harga atas barangan tertentu dalam satu transaksi jualbeli. Harga modal asal dinyatakan dengan keuntungan ( markup ) dinyatakan dalam satu harga. Selalunya ia melibat barangan yang dibeli di satu bandar dan dibawa dan dijual di bandar lain. Oleh kerana ia melibatkan kos, penjual berhak keatas keuntungan. Ia adalah satu secara untuk berjual beli dengan menyatakan dari awal harga asal dan keuntungan yang diambil.

Contoh jual beli Murabahah dalam Kitab Al Muwatta' ialah keuntungan dinyatakan 10 %.

" Jika seseorang menjual barangan asalnya dibeli 100 dinar dengan 110 dinar.".

Di dalam jual beli biasa, penjual tidak diwajibkan menyatakan modalnya keatas barangan tersebut, tetapi dalam jual beli murabahah kamu mesti menyatakan harga asal dan keuntungan .

Sebelum penjual menyatakan harga murabahah, barang mesti berada dalam milik penjual.

Apa yang berlaku di perbankan Islam sekarang ialah, pembeli akan pergi ke Bank dan menyatakan bahawa dia akan membeli sekian harta, kemudian bank akan membeli dengan tunai harta tersebut dan menjual harta tersebut semula kepada pembeli dengan harga asal dan keuntungan (markup) tetapi dalam hutang kredit atau ansuran.

Ini bukan jual beli murabahah tetapi sebenarnya dua jual beli dalam satu jual beli.

Ibnu Rusyd dalam Bidayatul Mujtahid menyatakan bahawa telah ijma' ulamak bahawa jual beli murabahah berlaku apabila penjual mengistiharkan (declare) kepada pembeli, harga dari tempat beliau membeli barang tersebut dan meletakkan sejumlah keuntungan atasnya dalam dinar atau dirham.

Harga asal dan keuntungan dinyatakan bagi memberitahu pembeli akan harga modal dan kos pengangkutan dan sebagainya , seperti dalam situasi wakil dalam qirad (mudharabah). Murabahah ialah jual beli bukan kaedah pelaburan seperti qirad ( mudhrabah). Perbezaannya dari jual beli biasa cuma pada kaedah menyatakan harga, itu sahaja. Ia bukan mode of financing, atau kaedah pembiayaan pinjaman.


article asal:http://www.facebook.com/home.php?sk=group_130228377040193&view=doc&id=145284702201227

No comments:

Post a Comment