Monday, April 11, 2011

Kerajaan Perak lancar dinar emas dan dirham perak untuk simpanan dan pelaburan


by KhuZai ARoy

on Tuesday, 01 March 2011 at 00:36


Kerajaan Perak menempa sejarah apabila melancarkan syiling dinar emas dan dirham perak sebagai instrumen pelaburan dan simpanan pertama di dunia yang menggunakan kandungan emas dan perak tulen.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata usaha memperkenalkan dinar emas dan dirham perak di negeri ini bermula sejak 2005 lagi dengan kerjasama Ketua Jabatan Kewangan, Ekonomi dan Pengurusan Sains IIUM, Prof Ahamed Kameel Mydeen Meera.

“Saya mengadakan beberapa siri perbincangan dengan Prof Ahamed Kameel yang bertanggungjawab dalam hal ini dan seterusnya membawa kepada detik bersejarah pelancaran dinar emas dan dirham perak yang menggunakan kandungan emas 24K dan perak tulen.

“Kualiti dinar dan dirham yang kita lancarkan ini lebih baik daripada yang dihasilkan pada zaman Khalifah Abd Malik Ibn Marwan iaitu 1,357 tahun lalu yang hanya 97 peratus emas.

“Sebaliknya kerajaan Perak memperkenalkan dinar emas dan dirham perak yang pertama di dunia menggunakan kandungan emas 24K dan 99.9 peratus perak.

“Penting juga untuk diketahui umum bahawa dinar dan dirham ini bukan bertujuan menggantikan mata wang atau menjadi transaksi dalam urusan jual beli,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan dinar emas dan dirham perak milik kerajaan Perak di Ipoh hari ini.

Projek itu dijayakan hasil kerjasama strategik GoldNet International Sdn. Bhd. dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Pada majlis itu juga, Dr Zambry turut melancarkan buku ‘The Real Money’ yang disunting oleh Prof Ahamed Kameel.

Sementara itu, Dr Zambry berkata, kerajaan negeri juga yakin pengenalan dirham emas dan dirham perak mampu menggalakkan perkembangan sektor baru seperti perkhidmatan selain membuka peluang pekerjaan dalam bidang berkaitan.

Jelasnya, permintaan untuk memiliki dinar emas dan dirham perak ini diterima dari Brunei dan Singapura dan sebagai permulaan, masing-masing 1,000 keping syiling dinar emas dan dirham perak dikeluarkan dengan nilai RM3 juta.

Minat untuk memiliki emas sebagai pelaburan dan simpanan juga katanya, menunjukkan sambutan yang semakin meningkat baik dari kalangan umat Islam mahupun bukan Islam.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Eksekutif GoldNet International Sdn Bhd, Datuk Rais Hussin Mohamed Arif, berkata dalam keadaan krisis ekonomi global yang dihadapi sekarang, dinar emas dan dirham perak adalah alternatif pilihan bagi mempelbagaikan pelaburan dan melindungi wang simpanan daripada inflasi.

Tambahnya, inflasi adalah satu fenomena ekonomi yang kerap berlaku dan emas pula boleh bertahan nilainya dengan baik pada jangka masa panjang.

“Oleh itu, emas merupakan satu benteng yang baik terhadap inflasi selain boleh digunakan sebagai menunjukkan rasa cinta dan kasih sayang, penghargaan, pengiktirafan prestasi serta mengikuti agama kerana ia boleh digunakan untuk membayar zakat,” katanya.

Tambahnya, setiap pembelian dinar emas dan dirham perak ini akan disumbangkan kepada tabung wakaf untuk dimanfaatkan oleh umat Islam yang kurang berkemampuan.

Rais Hussin berkata, pembuatan dinar emas dan dirham perak berkualiti tinggi itu membabitkan sebuah syarikat tempatan berpangkalan di Kuala Kangsar, iaitu Mariwasa Kraftangan Sdn. Bhd.

“Dinar dan dirham Perak ini direka secara unik. Jata negeri Perak ditempa di bahagian muka hadapan wang syiling tersebut sementara reka bentuk klasik dinar Islam yang pertama kali digunakan semasa zaman Khalifah Abdul Malik Marwan pula dicetak di bahagian belakang.

“Dinar Perak merupakan wang syiling seberat 4.25 gram 24K emas sementara dirham pula adalah seberat 3 gram 99.9 syiling perak.,” katanya dan satu dinar emas dijual pada harga RM690 manakala koleksi dirham dijual dengan RM260.

GoldNet juga katanya, melantik pengedar tempatan iaitu Nubex Sdn. Bhd. yang akan membeli dan menjual dinar serta dirham Perak ke seluruh Malaysia termasuk luar negara.

“Nubex juga sedang dalam perbincangan dengan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) untuk mengedarkan syiling tersebut kepada pelbagai rangkaian cawangan yayasan tersebut,” katanya.


http://www.facebook.com/note.php?note_id=10150144997951183


nota:


links:

http://www.goldnet.com.my/v3/company.php

http://www.ahamedkameel.com/archives/332

http://www.nubex.com.my/v2/

No comments:

Post a Comment